KUALA LUMPUR, 14 Ogos -- Harga minyak bakal menyaksikan sedikit kenaikan bermula tengah malam ini sehingga 21 Ogos, menurut Kementerian Kewangan hari ini.
Dalam satu kenyataan, harga runcit petrol untuk RON97 dan RON95 naik lima sen dan masing-masing akan dijual pada RM1.98 dan RM1.68 seliter.
Harga diesel pula naik sebanyak tiga sen, dijual pada RM1.82 seliter.
Kementerian berkata kenaikan itu disebabkan oleh perubahan harga minyak yang diproses, selari dengan harga minyak mentah dunia kini.
"Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat," menurut kenyataan tersebut. -SuaraKini