Demikianlah luahan bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berhubung dakwaan Filipina melalui Setiausaha Luar Negeri mereka, Teodoro Locsin Jr bahawa Sabah bukan milik Malaysia.
“Apa sahaja tuntutan atau dakwaan oleh Filipina sebenarnya langsung tidak relevan dan sememangnya tidak perlu di layan langsung,” katanya.
Tambahnya lagi, kenyataan ‘jahil’ seperti itu sebenarnya terang lagi bersuluh bagaimana Filipina buta dalam memahami sejarah dan undang-undang antarabangsa.
Malah, Anifah juga memberi amaran bahawa kenyataan serta dakwaan tidak berasas seperti ini akan menjejaskan hubungan dua hala yang terbina selama ini.
“Dari awal saya sudah katakan kita tidak mengiktiraf mana-mana pihak terhadap Sabah.
“Ingat ya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sendiri telah mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan persekutuan pada 16 September 1963.
“Jadinya, kenyataan dikeluarkan oleh Locsin ini membuktikan ianya sangat jahil. Dakwaan dan tuntutan Filipina ini kita tidak akan terima malah langsung tidak relevan juga,” katanya.
Terdahulu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membidas Locsin berhubung hantaran Twitter “Sabah is not in Malaysia” baru-baru ini.
Beliau menyifatkan kenyataan Locsin itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.
Sehubungan itu, Hishammuddin dalam hantaran menerusi Twitternya baru-baru ini mengarahkan Wisma Putra memanggil Duta Filipina ke Malaysia, Charles C. Jose pada Isnin untuk menjelaskan isu tersebut.
“Sabah merupakan dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia,” katanya dalam hantaran itu.