KUCHING, 19 Ogos -- Kerajaan negeri Sarawak memperuntukkan RM30 juta untuk menaik taraf fasiliti dan aksesibiliti internet di Pusat Hidupan Liar Semenggoh dekat sini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.
Beliau berkata peruntukan itu merupakan sebahagian daripada usaha serius kerajaan negeri untuk pemuliharaan hidupan liar di Sarawak, selain membolehkan pengunjung dari seluruh dunia menikmati keindahan alam dan hidupan liar eksotik di pusat itu.
"Kita ingin memberitahu dunia bahawa kita secara serius memelihara hidupan liar, jadi projek yang kita lancarkan hari ini adalah sebahagian daripada langkah penambahbaikan (untuk Pusat Hidupan Liar Semenggoh)," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis peletakan batu asas Pusat Rainforest Discovery Semenggoh dan pelancaran talian internet di Pusat Hidupan Liar Semenggoh.
Menurut Abang Johari, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), pihak berkuasa bagi pengurusan dan pemuliharaan hutan dan hidupan liar di negeri itu telah menstruktur semula peranannya bagi meningkatkan kecekapan dalam pemuliharaan hidupan liar.
"(Dengan penstrukturan semula), SFC telah diarahkan untuk fokus pada pembangunan pusat hidupan liar, mengawal selia taman negara dan perlindungan hidupan liar," katanya.
Mengenai capaian internet, Abang Johari berkata SFC telah bekerjasama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk memperbaiki kemudahan internet bagi membolehkan pengunjung memanfaatkan dan berkongsi pengalaman dengan rakan dan keluarga mereka di tempat lain dari seluruh dunia.
"Kita perlu memiliki internet berkelajuan tinggi, dengan cara itu para pelawat boleh akses kepada dunia luar dan berkongsi apa yang ada di Pusat Hidupan Liar Semenggoh yang juga penting untuk mereka yang menjalankan penyelidikan terhadap biodiversiti kita," tambahnya.
Pada majlis itu, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dan Persatuan Industri Perkayuan Sarawak (STA) masing-masing telah menyerahkan sumbangan RM50,000 kepada SFC untuk pemuliharaan dan penambaikan kemudahan Orang Utan di pusat hidupan liar itu. Sumbangan itu juga bersempena sambutan Hari Orang Utan Antarabangsa, hari ini. - BERNAMA