KUCHING, 8 Ogos -- Sarawak menyasarkan lebih 60 pingat emas daripada 10 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya Para Sukma Johor 2020 dari 5 hingga 10 April tahun depan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata Sarawak menjadi juara keseluruhan dengan mengumpul 61 pingat emas di temasya sukan itu pada 2018 di Ipoh, Perak.

“Sebanyak 25 pingat emas disasarkan diperolehi daripada sukan olahraga yang ada 31 kategori dan setiap kategori ada 10 acara serta menawarkan paling banyak pingat emas pada temasya ini,” katanya ketika menyaksikan latihan pasukan olahraga para Sarawak di Kompleks Belia dan Sukan Kuching, di sini, hari ini.

Antara sukan lain yang boleh menyumbang emas kepada Sarawak ialah renang dan angkat berat selain tenpin boling, boling padang, badminton, ping pong, memanah, catur dan boccia.

"Kita belum dapat memberi satu angka yang tepat tentang sasaran (pingat emas) kita, sebab latihan secara fizikal untuk pasukan (atlet OKU ) olahraga kita baharu bermula hari ini," katanya.

Pada temasya di Johor itu nanti, Sarawak akan menghantar seramai 158 atlet dan 54 pegawai sukan bagi mempertahankan kejuaraan buat kali ke-13 sejak 1994. - BERNAMA