KUALA LUMPUR, 8 Ogos -- Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengkaji terlebih dahulu tawaran kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) jika parti baharunya mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau sebenarnya tidak tahu apa yang ingin disampaikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tawaran tersebut.
“Saya tak tahu apa dia (Anwar) kata, saya kena kaji dulu,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Hari Solidariti untuk Kashmir, di sini, hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian ketika mengulas lanjut kenyataan Anwar semalam yang sedia mempertimbang kemasukan parti baharu yang akan ditubuhkan oleh Dr Mahathir dalam gabungan PH.
Terdahulu, PH berkata mereka bersedia mempertimbangkan permohonan mana-mana parti politik termasuk parti baharu yang ditubuhkan Dr Mahathir sebagai komponen gabungan itu.
Anwar bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan untuk menyertai PH.
“Dia (Mahathir) tak minta pun, kalau dia minta…kita timbangkanlah, biar dia minta dulu,” katanya ketika ditemui pemberita semalam. – SuaraKini