![]() |
Ketibaan Datuk Seri Bung Moktar Radin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam tadi. |
KOTA KINABALU, 19 Ogos -- Pengerusi UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau sedia menerima pandangan daripada semua pihak.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa UMNO perlu terus mara.
Katanya, beliau akan terus menggerakkan jentera UMNO dan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang kerana ia adalah misi beliau sebagai ketua.
“Tiada apa yang saya mahu cakap ketika ini, kerana saya baru sampai dan saya ada mesyuarat.
“Kita terima dan hargai semua pandangan namun apa yang penting, UMNO harus move forward,” katanya ketika ditemui selepas tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini.
Ketibaan ahli Parlimen Kinabatangan itu turut disambut ratusan penyokongnya yang melaungkan ‘hidup Bung!’ berulang kali.
Lewat malam semalam, ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bersama 11 pemimpin parti itu di Sabah membantah keputusan pelantikan Bung sebagai ketua jentera PRN BN.
BACA: Bung Moktar tak layak ketuai PRN Sabah, kata Rahman Dahlan
Bantahan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Bung.