KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan bahawa beliau tidak akan menyertai parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Ahli Parlimen Muar itu sebaliknya akan menubuhkan parti politiknya sendiri yang berbilang kaum dan berpusatkan golongan belia.

"Sekiranya di Thailand mereka dapat menubuhkan parti Future Forward, di Perancis mereka dapat menubuhkan En Marche di bawah presiden Emmanuel Macron, saya rasa sudah tepat pada masanya di Malaysia untuk memulakan gerakan yang terdiri daripada golongan belia.

"Dari kalangan teknokrat muda, profesional, ahli politik beliau dari pelbagai latar belakang untuk berkumpul untuk memastikan bahawa suara belia akan menguasai dalam dan di luar Parlimen.

"Akhirnya, belia tidak akan pernah dipandang ringan. Sudah tiba masanya hari ini sehingga politik tidak akan dirantai oleh orang yang sama, dikendalikan dan dimonopoli oleh orang tua yang sama," katanya kepada Channel NewsAsia ketika berkempen untuk calon Pejuang pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Slim.

Mahathir, bekas pengerusi Bersatu, berkata bahawa beliau akan menubuhkan satu lagi parti politik Melayu baharu yang bebas kerana perjuangan asal partinya yang lama telah disingkirkan.

Ketika Mahathir pertama kali mengumumkan parti itu, ia disertai oleh anaknya Datuk Seri Mukhriz, Datuk Marzuki Yahya, Dr Maszlee Malik, Datuk Amiruddin Hamzah dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, namun nama Syed Saddiq tidak muncul.