Tak wajar khianati undi rakyat dengan ‘janji manis’, kata Dr M

"Kita mesti tunaikan janji, tetapi sebaliknya walaupun kita janji, kita gunakan kedudukan kita untuk menolak pilihan rakyat. Ini tidak baik, atau ada cara boleh buat demikian, kita tidak harus buat demikian," kata Tun Dr Mahathir dalam forum bertajuk "Wawasan 2020" malam tadi.

KUALA LUMPUR, 2 Ogos -- Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan wakil rakyat supaya tidak melupakan janji dibuat pada pilihan raya umum lalu dan amanah diberikan rakyat, selepas beberapa wakil rakyat bertukar kem.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, tindakan itu tidak wajar kerana ia mengkhianati amanah dan mandat yang diberikan rakyat kepada mereka selepas dipilih sebagai wakil rakyat. 

"Yang jadi masalah di negara kita, setelah rakyat pilih kerajaan, ada cara digunakan untuk menidakkan pilihan rakyat. Ini saya fikir sesuatu yang tidak baik, tidak patut dilakukan kerana kita janji kepada rakyat, kerana janji kita itu, maka rakyat sokong kita.

"Kita mesti tunaikan janji, tetapi sebaliknya walaupun kita janji, kita gunakan kedudukan kita untuk menolak pilihan rakyat. Ini tidak baik, atau ada cara boleh buat demikian, kita tidak harus buat demikian," katanya dalam forum bertajuk "Wawasan 2020" malam tadi.

Beliau menjawab soalan berhubung tindakan beberapa wakil rakyat bertukar kem untuk menyokong bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman yang cuba menjatuhkan kerajaan Sabah pimpinan Warisan.

Mahathir berkata, wakil rakyat tidak patut mengubah pegangan dan prinsip mereka, walaupun parti yang disertainya beralih arah dan menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya.

"Apa yang berlaku kadang-kadang bukan parti yang menyeleweng, tetapi janji-janji manis yang dibuat pihak lain, kita lupa janji yang dibuat terhadap rakyat.

"Ini tidak baik bagi sesebuah negara demokratik kerana kita abaikan janji pada rakyat," katanya.

Terdahulu, DAP Sabah mendakwa 7 ADUN mereka telah ditawarkan wang dan jawatan supaya berpaling tadah berikutan desas-desus kerajaan negeri akan jatuh ke tangan pembangkang. 

Dua ADUN mereka, Jannie Lasimbang dan Calvin Chong dilaporkan berkata, laporan polis dibuat selepas mereka didatangi individu yang didakwa “ejen politik” daripada “pihak sebelah”.

PKR pula bertindak memecat Naib Pengerusi mereka di Sabah dan ADUN Inanam iaitu Kenny Chua setelah beliau dilihat menghadiri sidang media Musa untuk mengumumkan beliau mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri baru. 

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lalu selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari.