PAGOH, 8 Ogos -- Keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada 18 Mac lalu, disifatkan sebagai ‘keputusan besar dan berani’.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil sedang kebanyakan negara di merata dunia pada masa itu, masih teragak-agak memberikan respons dan tindakan berbeza-beza dalam menangani penularan COVID-19.
Beliau yang juga Pengerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu berkata, selain PKP, keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan, telah berjaya melandaikan lengkung jangkitan wabak COVID-19.
Beliau menambah bahawa Malaysia, yang diiktiraf sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam mengawal pandemik COVID-19, malah turut menjadi salah satu negara contoh.
Penerimaan rakyat terhadap tindakan kerajaan dalam mengekang wabak berkenaan, mendapat pengiktirafan dunia dalam satu tinjauan global.