Video tular lori ditarik guna kabel secara membelakang, pemandu ditahan polis

KUALA LUMPUR, 30 Ogos -- Polis menahan dua pemandu lori dalam video viral melibatkan sebuah lori yang ditarik secara membelakang, sehingga menyebabkan pelanggaran dengan sebuah kereta di Rawang, semalam. 

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata dalam insiden yang berlaku pada 3 petang, lori yang ditarik telah melanggar sebuah kereta yang berada di laluan bertentangan. 

"Hasil siasatan awal mendapati pada 2.20 petang, sebuah lori dari arah Rawang menghala ke Batu Arang semasa berada di lorong kanan telah mengalami kerosakan pam minyak menyebabkan enjin terhenti secara tiba-tiba. 

"Pemandu lori tersebut telah meminta bantuan rakannya, seorang pemandu lori yang lain untuk menarik lorinya yang rosak menggunakan kabel dalam keadaan membelakang," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Arifai berkata ketika lori itu ditarik, akibat masalah teknikal, stereng dan brek lori berkenaan tidak berfungsi menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan dan telah bergerak ke kiri dan ke kanan. 

Katanya, kedua-dua pemandu yang berusia 63 dan 46 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA