Asyraf Wajdi pelawa Syed Saddiq sertai Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 3 Sept -- Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempelawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyertai sayap parti tersebut.

Walau bagaimanapun, Asyraf berkata pelawaan itu hanya terpakai jika benar Syed Saddiq telah meninggalkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu kerana budaya politik wang.

“Oh, rupanya salah satu punca Syed Saddiq tinggalkan Tun M dan Bersatu kerana budaya politik wang yang membarah. Kalau macam tu, jom sertai Pemuda UMNO,” kata Asyraf Wajdi di Facebooknya hari ini.

Asyraf juga berkata, tempoh 22 bulan berperanan sebagai pembangkang banyak mengajar Pemuda UMNO dalam fasa pemulihan gerakan itu.

“Proses penyaringan dan penyucian semula jadi berlaku apabila UMNO hilang kuasa. Yang mengejar projek dan memperhitungkan wang lebih dahulu meninggalkan wadah kononnya atas nama ‘berhijrah’.

“Yang tinggal terus bermuhasabah, melakukan koreksi diri dan sama-sama membangunkan kembali wadah dengan wajah dan iltizam baru untuk menanggalkan budaya lama yang bobrok demi sebuah perjuangan,” katanya.

Bagaimanapun, pelawaan itu mendapat tentangan daripada pengikut beliau yang menyifatkan kemasukan Syed Saddiq dalam Pemuda UMNO ibarat meletakkan najis di dalam pewangi.

Malah, pengikut dengan nama Rofiah Fi menyifatkan Syed Saddiq sebagai “hati tisu” dan akan memalukan kepimpinan pergerakan Pemuda UMNO sebagai pejuang setia yang sejati.

Dalam wawancara dengan portal berita tempatan baru-baru ini, Syed Saddiq mengakui rampasan kuasa politik melalui “langkah Sheraton” dan amalan politik wang dalam Bersatu menjadi pendorong gerakan politik barunya.

Bagaimanapun pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr M hari ini mendakwa langkah Syed Saddiq menubuhkan parti berasaskan golongan anak muda itu tidak akan berjaya.

Dr M dilaporkan berkata, model yang dibawa oleh beliau tidak sesuai dalam arena politik tanah air.