Biar generasi baharu pimpin UMNO, bukan Najib lagi - KJ

KUALA LUMPUR, 3 Sept -- Bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata parti itu perlu dipimpin oleh generasi baharu, bukannya 'dipimpin semula' oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Biar generasi baharu seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, saya, Datuk Seri Reezal Merican, dan beberapa yang lain – biarkan kami yang pimpin parti,” katanya kepada Channel News Asia (CNA) dalam satu temubual.

Khairy berkata UMNO perlu beralih daripada bekas presidennya iaitu Najib berikutan pensabitan bersalah beliau dalam perbicaraan berkaitan unit 1MDB dan SRC International.

Beliau juga menambah, sudah menjadi rahsia terbuka Najib merancang untuk kembali sebagai presiden parti, mengatakan ramai orang mahu beliau kembali ke jawatan itu.

Sementara itu, Khairy juga berkata UMNO perlu mempersiapkan calon perdana menteri sendiri untuk pilihan raya umum akan datang.

Namun, beliau berkata teka-teki sekarang tentang siapa dalam parti yang layak menjadi perdana menteri.

“Kalau anda tanya apakah UMNO ada seorang calon? Tidak. Sudah tentu, sekarang ini tiada orang yang boleh saingi Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Itulah masalah kita sekarang. Itulah sebabnya kita perlu bina semula parti dan tinggalkan masa lampau. Itulah yang saya cuba sampaikan.

“Kita sokong Muhyiddin kerana beliau perdana menteri sekarang, tapi kita perlu rancang untuk selepas itu,” kata Khairy.