PUTRAJAYA, 1 Sept -- Satu lagi kematian akibat COVID-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kebangsaan.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di negara meningkat kepada 128 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kematian ke-128 itu membabitkan seorang wanita warga tempatan berusia 80 tahun yang merupakan kes positif COVID-19 daripada Kluster Tawar dan mempunyai latar belakang penyakit barah paru-paru dan darah tinggi.
"Beliau mula mengalami gejala demam dan sakit dada sejak 6 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan. Pada 14 Ogos 2020, beliau dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang setelah didapati positif COVID-19.
"Keadaan kesihatan beliau merosot dengan komplikasi daripada penyakit barah, justeru memerlukan bantuan pernafasan sejak 24 Ogos 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 1 September 2020, jam 10.38 pagi," kata Dr Noor Hisham pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata terdapat 14 kes positif baharu COVID-19 dilaporkan setakat tengah hari ini.
Perkembangan tersebut menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara sebanyak 9,354 kes.
"Ingin dimaklumkan daripada 14 kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua bukan warganegara.
"Lima kes import tersebut adalah dari negara Ukraine iaitu satu kes dilaporkan di Selangor, negara Pakistan iaitu satu kes dilaporkan di Selangor, negara Indonesia iaitu satu kes dilaporkan di Selangor dan negara Filipina iaitu dua kes dilaporkan di Sabah," katanya.
Manakala, sembilan lagi kes penularan di dalam negara melibatkan lima warganegara Malaysia dan empat adalah bukan warganegara.
Pada masa yang sama, beliau berkata terdapat 21 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9075 kes yang bersamaan dengan 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 telah menurun kepada 151 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
“Sehingga kini, terdapat lima kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.