Isteri MB Selangor mohon maaf, dakwa lori Air Selangor bukan untuk kolam renang

KUALA LUMPUR, 6 Sept -- Isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad memohon maaf berhubung tindakannya memuat naik beberapa keping gambar yang didakwa mengguris hati netizen ketika berdepan isu gangguan bekalan air di negeri ini.

Gambar lori tangki air Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berada di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor dan ahli keluarganya mandi di kolam renang di kediaman terbabit tular di media sosial sejak semalam.

Masdiana mengakui kekhilafan memuat naik gambar tersebut yang menimbulkan banyak tafsiran tetapi menafikan dakwaan bahawa lori tangki dihantar untuk memenuhkan kolam renang di kediaman rasmi itu.

"Assalamualaikum dan salam sejahtera...Saya menyedari kekhilafan di pihak saya memuat naik gambar tersebut yang menimbulkan banyak tafsiran.

"Sebagai seorang ibu saya cuma ingin menyampaikan rasa berterima kasih kepada petugas barisan hadapan Air Selangor yang bertungkus lumus sejak beberapa hari lepas, bukannya niat untuk bermegah-megah.

"Saya memohon maaf sekiranya tindakan tersebut mendatangkan sebarang bentuk salah tafsir dan mengguris perasaan mana-mana pihak," katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Menurutnya, beliau akan bersama petugas barisan hadapan Air Selangor untuk membantu penduduk di kawasan yang belum menerima bekalan air terutama golongan ibu dan warga emas.