KUALA LUMPUR, 1 Sept -- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bersedia melaksanakan pakej rangsangan ekonomi tambahan dan inisiatif-inisiatif lain untuk membantu rakyat dalam menghadapi kekangan ekonomi sekiranya ada keperluan dan kewangan negara mengizinkan.
Muhyiddin berkata keprihatinan kepada rakyat adalah prinsip utama yang diberi perhatian oleh beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas beliau menerima mandat sebagai perdana menteri.
"Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengambil berat tentang rakyat tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit. Ini keutamaan saya yang paling penting.
“Apa yang telah saya lakukan dalam tempoh enam bulan lepas adalah berasaskan prinsip ini. Saya bukan sahaja perlu menjaga kesejahteraan rakyat tetapi juga mata pencarian mereka,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan penutupan Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN, di sini hari ini.
Konvensyen anjuran Pertubuhan Intelektual Negara itu turut dihadiri Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang dan Presiden PAS.