KKM bimbang kes import meningkat ekoran musim sejuk

PUTRAJAYA, 1 Sept -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melahirkan rasa bimbang sekiranya kes import COVID-19 semakin meningkat ekoran musim sejuk bakal dialami negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara ini kemungkinan menggusarkan kebanyakan negara hemisfera utara yang bakal berhadapan dengan musim sejuk.

"Rata-rata negara dari benua Amerika, Eropah dan Asia Tenggara sedang melihat kenaikan kes COVID-19 sepertimana yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," jelasnya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau juga menjelaskan kebanyakan kes penyakit saluran pernafasan termasuk jangkitan paru-paru lazimnya lebih banyak dilaporkan pada musim sejuk berbanding dengan musim-musim lain.

"Situasi ini membimbangkan kerana kebanyakan kes COVID-19 yang dilaporkan di Malaysia mutakhir ini adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, meskipun mereka dikuarantin di pusat kuarantin sejurus memasuki Malaysia," katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata hasil penyelidikan mendapati nilai Rt atau R naught (R0), iaitu kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat sedikit meningkat di negara.

"Pada 26 Ogos 2020, Rt yang dilaporkan adalah 0.74, namun kini ianya telah meningkat sehingga 1.0.

"Oleh yang demikian, kita perlu meneruskan dan memantapkan lagi kawalan sempadan antarabangsa.

"Kawalan sempadan antarabangsa yang masih dalam pelaksanaan wajar diteruskan, malah perlu diperkukuhkan bagi memastikan jangkitan COVID-19 dari luar negara tidak menular ke dalam Malaysia.

"Implementasi kawalan sempadan yang lebih ketat sememangnya memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak," katanya lagi.

Susulan itu, Dr Noor Hisham berkata pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan untuk menyekat kemasukan pemegang pas jangka masa panjang bagi warganegara India, Indonesia dan Filipina yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu, Ismail pada sidang media beliau hari ini menjelaskan sekatan ini akan mula berkuatkuasa pada 7 September.

BACA: Malaysia sekat kemasukan pemegang pas jangka panjang dari India, Indonesia, Filipina

Sekatan ini merangkumi enam kategori iaitu mereka berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen.

Turut disekat ialah pasangan kepada warganegara Malaysia dan anak-anak mereka serta pelajar dari ketiga-ketiga negara berkenaan yang ingin kembali ke Malaysia.

Beliau berkata sekatan itu dilaksanakan berikutan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di negara-negara berkenaan.