Rahman Dahlan, Bung Moktar kembali berdamai

KUALA LUMPUR, 1 Sept -- Perselisihan pendapat di antara Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sudah diselesaikan pada pagi ini.

Jelas Bung Moktar, apa jua persengketaan sebelum ini melibatkan dirinya dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan perlu dilupakan sekali gus bergerak ke hadapan.

“Kita UMNO kena move on (bergerak ke hadapan). Untuk menang, perlu ada kerjasama. Itu saja,” katanya ringkas ketika diminta mengulas perdamaian beliau dengan Abdul Rahman.

Pertemuan Abdul Rahman dan Bung Moktar dirakamkan di sebuah program parti di Sepanggar, apabila kedua-dua pemimpin Sabah itu bersalaman sambil disaksikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Portal Sinar Harian melaporkan, Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan kemelut antara Rahman dan Bung Moktar sudah berakhir melalui pertemuan tersebut.

Asyraf dipetik sebagai berkata, semua pemimpin BN Sabah termasuk Abdul Rahman bersedia mengiktiraf Bung Moktar sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bermula 20 September ini.

"Ya, pagi ini di Sepanggar (Abdul Rahman dan Bung Moktar kembali berdamai). Presiden (UMNO) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bertemu dengan kepimpinan Sabah dan menegaskan semua dapat mengetepikan perselisihan lampau dan memberi fokus menghadapi PRN Sabah," kata Asyraf kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, seramai 12 Ketua Bahagian UMNO Sabah diketuai Abdul Rahman dan sekumpulan pemimpin parti itu membantah pelantikan Bung Moktar sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya parti itu untuk PRN bulan ini.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO bahagian Tuaran berkata, pemimpin yang menjadi Pengarah Jentera Pilihan Raya perlu bebas daripada persepsi negatif dan tidak dibebankan dengan masalah peribadi yang boleh menjejaskan sokongan pengundi.

Bagaimanapun, Bung Moktar mengambil pendirian berdiam diri.

Asyraf juga berkata, dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid menegaskan kekuatan UMNO dan BN selama ini kerana khidmat kepada rakyat yang dilakukan secara ikhlas dan bersungguh-sungguh.

"Justeru Presiden (Ahmad Zahid) menasihatkan jangan dipersiakan harapan rakyat untuk UMNO dan BN kembali membela nasib mereka dengan mengenepikan sebarang perbezaan yang ada," katanya.

Portal itu juga melaporkan, Ahmad Zahid dipetik berkata, tiada krisis antara Bung Moktar dengan Abdul Rahman tetapi lebih kepada perbezaan pendapat dalam keluarga.

“Tidak ada krisis sebenarnya, ini hanya seperti berkocaknya air di dalam cawan. Itu hanyalah masalah adik beradik. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan,” kata Ahmad Zahid.