MIRI, 5 Sept -- Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata beliau masih tidak percaya dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang pernah membuat kenyataan bahawa negeri itu akan bankrap dalam tempoh tiga tahun.
Tahun lepas, Guan Eng pernah berkata, dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion, 'Sarawak akan kering' dalam masa 3 tahun.
Abang Johari sehingga kini berkata beliau masih tidak dapat menerima kenyataan Guan Eng itu.
"Saya tidak boleh menerimanya," katanya ketika merasmikan konvensyen khas Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Zon Utara, di sini.
"Setelah anda jadi musuh kita, anda akan jadi musuh kita selama-lamanya," katanya mengenai DAP.
Abang Johari, yang juga presiden PBB, salah satu komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertahankan tindakan gabungan itu menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Pembangkang terus mengkritik kami kerana bergabung dengan kerajaan persekutuan dengan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata mereka juga mempersoalkan GPS kerana memilih untuk bersama dengan PAS dan Bersatu dalam membentuk kerajaan persekutuan.
Katanya, GPS membentuk kerajaan persekutuan dengan PN demi kepentingan rakyat Malaysia.
Abang Johari berkata, pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen pernah meminta GPS untuk menyokong PH.
“Beliau kata mesti lupakan perkara lama. Beliau nak DAP bersikap ramah dengan GPS kerana mahukan kami menyokong PH,” kata Abang Johari.
Walau bagaimanapun, beliau menekankan bahawa GPS tidak bodoh untuk menerima pelawaan Chong untuk menyokong PH.
"Setelah kecam kami bahawa kami akan bankrap dalam tiga tahun kerana dasar kami untuk menolong rakyat sehingga mereka menganggap kami bodoh.
"Mereka membatalkan projek jambatan dan infrastruktur yang dibiayai persekutuan di Sarawak yang diluluskan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN)," katanya.
Katanya, kerajaan negeri mempunyai wang untuk meneruskan projek-projek itu demi kepentingan rakyat.