KOTA KINABALU, 1 Sept -- Kenyataan  ketua menteri sementara Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa kerajaan negeri dan Persekutusan tidak perlu selari dalam konteks membangunkan Sabah disifatkan tidak berasas.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa, kenyataan itu memperlihatkan Mohd Shafie hilang hala tuju sekali gus mahu terus membiarkan rakyat menderita dan ekonomi negeri tidak membangun.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut mendakwa, kenyataan tersebut merupakan politik murahan yang dijual Parti Warisan Sabah (Warisan).

"Dia (Mohd Shafie) harus sedar bahawa dari dahulu kita lihat negeri-negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan tidak akan membangun, rakyat menderita dan ekonomi akan sengsara.

"Saya bagi contoh, untuk membina jalan raya di luar bandar dengan kos RM200 ke RM300 juta, sudah tentu kerajaan negeri tiada kewangan untuk melaksanakan projek itu.

"Itu baru satu contoh. Banyak lagi contoh-contoh (iaitu) Jabatan Pendidikan, Jabatan Kesihatan, bekalan elektrik luar bandar," katanya.

Semalam, Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk kerajaan negeri selari dengan kerajaan Persekutuan.

Katanya, hubungan pentadbiran sedia ada sudah cukup untuk terus membangunkan Sabah.

Mengulas lanjut, kata Bung, rakyat Sabah ada peluang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada 26 September ini untuk membuat pilihan.

"Adakah rakyat mahu memilih kerajaan yang tidak bersama-sama dengan kerajaan Persekutuan atau memilih parti yang membentuk kerajaan negeri yang sehaluan dan seimbang dengan kerajaan Pusat," katanya.