KOTA BHARU, 6 Sept -- Tiada keperluan untuk menukar perdana menteri kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah calon terbaik untuk menggalas jawatan tersebut ketika ini, jelas Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata, Muhyiddin dilihat sebagai calon terbaik berdasarkan kepada pengalaman dan kebolehan yang dimilikinya.
"Bagi kami, setakat ini calon terbaik adalah Muhyiddin. Sesuai dengan kemampuan dan kedudukan beliau. Jadi, kenapa nak tukar memandangkan beliau masih baik dan sihat," katanyam.
Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa tiada calon lebih berwibawa dalam kalangan UMNO dan PAS untuk dilantik menjadi perdana menteri buat masa ini di samping kewibawaan Muhyiddin.
Mohd Amar ditemui pemberita hari ini selepas merasmikan pembukaan stesen minyak BHPetrol di Lebuhraya Tunjung - Pasir Mas di sini.