Terima kasih Tun, jawab Syed Saddiq lepas dikutuk Dr M

KUALA LUMPUR, 3 Sept -- Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir Mohamad susulan kutukan bekas perdana menteri itu berhubung hasratnya menubuhkan parti baharu untuk orang muda.

Syed Saddiq berkata, beliau menerima kritikan itu dengan hati terbuka, walaupun kritikan berkenaan dilontarkan oleh pemimpin yang disanjungnya tinggi sewaktu berada dalam Bersatu.

“Kami terima kritikan dengan hati yang terbuka. Parti ini adalah parti yang akan diketuai oleh orang muda untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Majoriti yang akan memimpin adalah golongan teknokrat, profesional, usahawan, petani model, pemimpin masyarakat sivil dan lain-lain. Kami mungkin muda, tetapi kami sayangkan Malaysia,” katanya di Twitter, hari ini.

Terdahulu Mahathir berkata, beliau tidak yakin parti baru berasaskan orang muda ditubuhkan Syed Saddiq itu akan berjaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, walaupun tidak dinafikan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi, namun usaha mendapatkan sokongan orang muda sahaja tidak memadai memandangkan terdapat pelbagai peringkat usia dalam sesebuah Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

Menurut Mahathir, beliau mempunyai hubungan baik dengan Syed Saddiq dan tidak ada masalah untuk bekerjasama jika matlamat parti yang ditubuhkan bekas menteri itu adalah untuk menghapuskan rasuah.

Syed Saddiq sebelum ini berkata, beliau tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan oleh Mahathir kerana mahu memperkasakan golongan muda dan mempromosikan Malaysia yang lebih berbilang kaum.

Katanya, beliau juga berhasrat mahu menamatkan politik wang dan memecahkan status quo politik serta memberi lebih banyak suara kepada golongan muda.