Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga. |
TOKYO, 1 Sept -- Dalam arena politik Jepun, gambarannya kini semakin jelas siapa bakal pengganti Shinzo Abe sebagai Perdana Menteri negara itu.
Besar kemungkinan jawatan itu bakal disandang Ketua Setiausaha Kabinet negara itu, Yoshihide Suga, 71.
Suga mendapat sokongan kumpulan terbesar dalam Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah menjelang pemilihan pemimpin barunya pada 14 Sept kelak.
Media tempatan melaporkan Suga akan mengumumkan hasratnya untuk bertanding pada Rabu, 2 Sept.
Pemimpin dari LDP sudah pasti menjadi perdana menteri kerana parti itu menguasai Dewan Rendah parlimen.
Dewan Rendah akan memilih perdana menteri baharu pada 17 Sept.
Meskipun Suga mendapat sokongan kumpulan terbesar dalam LDP, seorang lagi calon, Shigeru Ishiba, 63 pula didapati paling popular dalam kalangan rakyat Jepun berdasarkan satu tinjauan pendapat pada hujung minggu lalu.
Mantan Menteri Pertahanan itu berkata lebih ramai rakyat menyokongnya kerana beliau tidak termasuk dalam kumpulan pentadbiran sekarang.