Najib kecam Filipina cuba hidup semula pejabat tuntut Sabah

KUALA LUMPUR, 1 Sept -- Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengecam kerajaan Filipina yang akan menghidupkan semula sebuah pejabat di Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) yang dikhaskan sebagai usaha merebut semula negeri Sabah.

Beliau juga mempersoalkan mengapa isu ini tidak dibangkitkan ketika beliau masih lagi menjadi perdana menteri di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Tiba-tiba negara Filipina hidupkan semula tuntutan rasmi ke atas Sabah. Dah puluhan tahun bawah masa BN dahulu, kerajaan Filipina tak tuntut Sabah.

"Masa saya jadi PM (perdana menteri), negara Filipina tak pernah bangkitkan isu ini kepada saya," kata Najib.

Sebaliknya, kata beliau, hanya keluarga 'Sultan Sulu' iaitu Jamalul Kiram III yang menuntut Sabah sehingga tragedi Lahad Datu tercetus pada tahun 2013.

"Kerajaan Filipina masa itu turut bantu kita untuk menyelesaikan pencerobohan Lahad Datu," kata Najib.

Beliau juga menegaskan bahawa Sabah adalah sebahagian daripada negara Malaysia dan mengajak semua pihak supaya tidak melayan tuntutan negara lain ke atas negeri di bawah bayu itu.

"Kita jangan tunduk dan jangan layan tuntutan negara lain," tegas Najib.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau pada Selasa.

Artikel berkaitan