KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini buat julung kalinya dikendalikan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang di-Pertua wanita yang pertama.

Beliau yang dilantik semalam untuk menggantikan tempat pendahulunya, Nga Kor Ming memulakan tugasnya sekitar jam 11.55 pagi bagi menyambung sesi soal jawab lisan yang sebelum itu dikendalikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Ahli Parlimen Pengerang itu kelihatan tidak kekok dan tenang. Beliau juga berupaya mengendalikan sidang dengan baik.

 “Saya bertugas hari ni hari pertama, ‘slow and steady’ YB semua,” katanya sebelum menyambung semula sesi soal jawab lisan.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin sempat ‘mengusik’ Azalina apabila bertanya sama ada Timbalan Yang di-Pertua wanita perlu memakai songkok seperti yang lazim dipakai oleh penyandang jawatan tersebut selama ini.

Azalina berfikiran terbuka mengenai pertanyaan Bung Moktar itu sambil bergurau senda bahawa perkara itu akan dibincangkan dengan Azhar Azizan kemudian.