PUTRAJAYA, 29 Julai ― 13 kes baru COVID-19 dilaporkan oleh kementerian kesihatan hari ini.
Ini menjadikan jumlah kes keseluruhan positif setakat ini 8,956 dengan 220 kes masih dirawat.
Lapan kes import melibatkan empat rakyat tempatan dan selebihnya lima kes ialah penularan tempatan.
Tiga daripada kes penularan tempatan melibatkan rakyat tempatan, dan dua ialah warga asing.
Tiada kematian baru berkaitan COVID-19 dilaporkan oleh kementerian kesihatan hari ini.
Angka kematian kekal pada 124 orang.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, lima pesakit telah pulih, menjadikan jumlah pesakit yang telah discaj sebanyak 8,612.
Kes yang import adalah dari negara United Kingdom, India, Filipina, Pakistan, Gambia dan Ukraine.
Mengenai kes penularan tempatan yang melibatkan warganegara Malaysia, katanya, satu kes dari Johor. Pesakit disahkan positif semasa saringan tempat kerja (kru kapal). Satu kes dari kluster Sentosa di Sarawak dan satu kes dari Sabah.
Bagi kes yang melibatkan warga asing, seorang pesakit berasal dari kluster Mambong di Sarawak dan seorang dari kes saringan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum dipindahkan ke Depot Tahanan Imigresen di Perlis.
Status terkini 2 kluster di Sarawak
Dr Noor Hisham juga mengemas kini jumlah kes dalam dua kluster di Sarawak.
Sehingga 29 Julai, 198 orang dari kluster Mambong telah disaring, yang melibatkan 188 rakyat Malaysia dan 10 warga asing.
Daripada jumlah ini, tujuh didapati positif COVID-19, melibatkan lima rakyat Malaysia dan dua warga asing. 191 lagi didapati negatif.
Sementara itu, mengenai kluster Sentosa, 1,026 orang telah disaring, dengan 31 didapati positif dan 888 didapati negatif, dan 107 masih menunggu hasil.
Punca jangkitan kluster ini masih di dalam siasatan. Namun, hasil siasatan awal pihak kementerian kesihatan mendapati bahawa kemungkinan besar punca adalah daripada aktiviti di dalam komuniti.
Pemeriksaan itu melibatkan 397 petugas kesihatan, ahli keluarga mereka, 104 pekerja syarikat pembersihan dan pengawal keselamatan, 196 pesakit serta 221 kontak rapat yang lain.
Daripada 397 anggota kesihatan yang disaring, 17 didapati positif dan 20 masih menunggu keputusan.
Sementara itu, empat daripada 104 pekerja syarikat pembersihan dan pengawal keselamatan didapati positif.
Satu daripada 196 pesakit didapati positif, sementara 176 didapati negatif dan 19 masih menunggu keputusan.
Daripada 108 ahli keluarga yang dikenal pasti, dua orang didapati positif, 68 didapati negatif dan 38 sedang menunggu keputusan makmal mereka.
Mengenai 221 kontak rapat lain, Dr Noor Hisham berkata tujuh daripada mereka didapati positif, 184 didapati negatif sementara 30 masih menunggu keputusan.