KUALA LUMPUR, 25 Julai: Kementerian kesihatan hari ini melaporkan 23 kes baru COVID-19.

Ini menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 8,884, dengan 167 kes aktif masih mendapat rawatan sehingga tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bahawa 17 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Angka kematian kekal 123 kes.

Noor Hisham berkata daripada 23 kes baru dilaporkan hari ini, enam kes import dan selebihnya kes penularan tempatan.

"Enam kes import tersebut adalah dari negara Singapura, Indonesia, Filipina dan Rusia," katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham turut berkata, 17 kes penularan tempatan itu melibatkan 10 warganegara dan tujuh bukan warganegara.

Beliau juga berkata kes yang melibatkan warga asing berasal dari depot tahanan imigresen Bukit Jalil di Kuala Lumpur dan juga di pelbagai lokasi di Selangor serta Johor.

Sementara itu, Noor Hisham berkata terdapat dua kes yang melibatkan rakyat Malaysia yang dikesan di Johor di bawah kluster warga emas Kluang dan satu semasa saringan di tempat kerja.

“Baki lapan kes adalah di Sarawak, di mana empat kes daripada kluster Sentosa, satu kes daripada kluster Kejuruteraan Kuching, satu kes daripada kluster Syarikat Pembinaan Kuching, satu kes saringan pemantauan di pintu masuk lapangan terbang dan satu kes saringan di tempat kerja," katanya.

Noor Hisham berkata pada masa ini, tiga pesakit sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU), dengan dua daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.