KUALA LUMPUR, 26 Julai -- Bermula esok, polis akan menahan dan mendakwa individu yang belum menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13 kuarantin di rumah, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata individu terbabit telah diarahkan menghubungi pejabat kesihatan daerah berdekatan untuk menjalani ujian saringan kedua berkenaan.
Sementara itu, seramai 839 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di enam stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.
Ismail berkata, kesemua mereka wajib menjalani kuarantin 14 hari.
"Mereka pulang dari 17 negara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, China dan Australia," katanya.
Mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin termasuk kos ujian saringan COVID-19.
Kerajaan telah memutuskan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing yang masuk ke Malaysia perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan.
Ismail juga berkata seramai 617 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan daripada jumlah itu, 20 individu direman manakala 597 lagi dikenakan kompaun.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah aktiviti pub dan kelab malam serta aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata polis masih memantau penyebaran berita palsu.
“Sehingga 25 Julai, 266 kertas siasatan dibuka dengan 172 masih dalam siasatan manakala 30 kes didakwa di mahkamah, 12 lagi diberikan notis amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 mengaku bersalah," kata Ismail.