KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini mengesahkan keahlian Shahruddin Md Salleh dalam parti itu terhenti serta merta.
Menurut Hamzah, Ahli Parlimen Sri Gading itu telah memberitahu speaker Dewan Rakyat pada 10 Julai bahawa beliau tidak lagi bersama blok kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu.
Penamatan keahlian adalah berdasarkan Artikel 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan Bersatu, kata Hamzah.
Hamzah mengucapkan terima kasih kepada Shahruddin atas sumbangan dan jasa beliau kepada parti.
Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan ahli Bersatu yang lain agar tidak mencemarkan nama baik parti.
Katanya, parti itu tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli yang melanggar perlembagaan parti.