KUALA LUMPUR, 31 Julai -- Media Prima Bhd hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Khairul Anwar Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks berkuat kuasa 1 Ogos, 2020.
Beliau akan melapor kepada Datuk Iskandar Mizal Mahmood, pengarah urusan kumpulan Media Prima.
Khairul memilki pengalaman lebih 25 tahun dalam industri media dan hiburan dan terlibat dalam bahagian seni, televisyen dan produksi pentas hinggalah kepada pengurusan kandungan dalam persekitaran keusahawanan dan korporat, kata syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Jawatan terkini beliau adalah sebagai naib presiden perniagaan kandungan Melayu dan Nusantara Astro Malaysia Holdings Bhd dari Mac 2010.
Antara lainnya, Khairul berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa eksekutif Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan.
Beliau memiliki Ijazah Seni Halus (Arca) daripada Curtin University of Technology, Western Australia pada 1992 dan Diploma Lukisan daripada La Salle College of Arts pada 1989. — BERNAMA