Alhamdulillah, akhirnya PKR bangkit dari tidur - Zuraida


KUALA LUMPUR, 31 Julai -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dalam nada menyindir melahirkan rasa syukurnya dengan tindakan parti Keadilan (PKR) yang bercita-cita untuk menawan kembali Parlimen Ampang dan Gombak.

Malah, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang itu berkata, hakikatnya selama ini PKR Ampang secara khususnya lebih banyak ‘tidur’ dan sekurang-kurangnya kini sudah bangkit kembali berbuat sesuatu untuk kawasan tersebut.

“Alhamdulilah. Saya sungguh berbangga kerana Keadilan memilih Ampang untuk mengadakan program pelancaran penerangan mereka. Selama ini mereka ini tidur, kini sudah bangkit. Alhamdulilah.

“Alhamdulliah, kita juga profesional. Kita akan bertanding secara sihat dan berdepan secara sihat juga. Saya amatlah mengalu-alukan kehadiran mereka. Baguslah, jika tidak mereka ini tidur sahaja.

“Saya cuma hendak minta mereka janganlah tertinggal kawasan mereka pula,” katanya kepada pemberita selepas meninjau ibadah korban di sini hari ini.

Minggu lepas, ketika Konvensyen Penerangan PKR yang turut dihadiri oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ampang, parti itu telah berikrar untuk merampas kedua-dua kawasan itu yang dikatakan kerusi tradisi.

Malah kata Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, partinya bertekad untuk merampas kerusi Gombak yang di anggap di kuasai oleh ‘pengkhianat’, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk kerusi Gombak, Zuraida di Ampang.

“Kita nak ingatkan pada pengkhianat ini, ini adalah wilayah PKR.

“Kita akan tawan semula Ampang dan Gombak pada pilihan raya akan datang,” kata Shamsul.

Azmin dan Zuraida dipecat dari PKR pada hujung Februari lalu.

Kedua-dua bekas pemimpin PKR itu merupakan ahli Parlimen Gombak dan Ampang, yang mewakili kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.