LUNDU: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin dijangka akan melawat negeri Bumi Kenyalang, Sarawak untuk mengumumkan berita gembira berkaitan rancangan pembangunan
di kawasan sempadan negara di Tebedu, Serian.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin
berkata, Perdana Menteri bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun
Openg dijadual akan mengadakan lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam,
Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu pada 26 Julai ini.
"Jadi hari ini adalah lawatan tapak untuk
melihat apa yang dirancang itu sama ada boleh kita teruskan atau tidak dan
daripada apa yang saya nampak kita ada ruang untuk menjadikan tempat ini lebih
maju di masa hadapan.
"Namun, keputusan saya serah kepada
Perdana Menteri yang akan mengumumkannya yang mana beliau bersama Ketua Menteri
akan datang semula ke sini (ICQS Tebedu) pada minggu depan (26 Julai),"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui
pemberita selepas mengadakan lawatan kerjanya bersama delegasi Kementerian
Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman di ICQS Tebedu, Serian
hari ini.
Pada masa sama Hamzah memberitahu, lawatannya
itu juga adalah untuk melihat situasi semasa di ICQS tersebut.
Selain itu, katanya, beliau juga akan membuat
kertas kerja berkaitan untuk diserahkan kepada Perdana Menteri.
"Itulah yang kita mahu lakukan supaya
dalam masa seminggu saya akan buat semua kertas kerja dan berikan kepada
Perdana Menteri untuk membuat keputusan," jelasnya.
Sementara itu, Duta Khas Perdana Menteri Ke
Asia Timur yang juga Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata,
Perdana Menteri akan melawat ke ICQS Tebedu pada 26 Julai ini untuk mengumumkan
sesuatu.
"Perdana Menteri akan melawat tempat ini
pada 26 Julai ini. Biar Perdana Menteri yang membuat pengumuman nanti bila
beliau datang ke sini," katanya yang juga enggan mendedahkan berita
gembira itu.
Hadir sama pada lawatan itu Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz @ Yazid, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani, Timbalan Pengarah KDNKA (PGA) Datuk Mastor Mohd Ariff, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dan tetamu kehormat lain.