KUALA LUMPUR: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung komen sesetengah netizen yang memperlekeh hari Jumaat diumumkan sebagai 'Hari Jawi'.
Menurut Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Mior Faridalathrash Wahid, terdapat satu laporan polis yang telah dibuat di Kluang, Johor.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998," katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mengumumkan hari Jumaat sebagai Hari Jawi bertujuan untuk mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.
Susulan pengumuman itu, sesetengah netizen memuat naik beberapa kenyataan menghina dan memperlekehkan usaha itu di laman sosial.