Yong berkata, pendedahan yang
dibuat oleh beberapa ADUN Warisan dan Pakatan Harapan (PH) bahawa mereka
menandatangani SD menyokong Shafie sebagai ketua menteri menunjukkan beliau
tidak lagi mempercayai ADUNnya sendiri.
“Adalah luar biasa bahawa ketua
menteri yang mendakwa mendapat sokongan dua pertiga majoiti di Dewan Undangan
Negeri (DUN) perlu meminta ADUNnya sendiri menandatangani SD bagi menyokong
beliau sebagai ketua menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Satu-satunya sebab bagi keadaan
itu ialah Shafie percaya bahawa beliau telah hilang sokongan ADUNnya sendiri.
“Justeru kewujudan SD ADUN
penyokong kerajaan ini mendedahkan hakikat adanya masalah besar dalam gabungan
yang diketuai oleh Warisan.”
Semalam ADUN Inanam, Kenny Chua
menafikan beliau beralih sokongan daripada gabungan kerajaan Warisan-UPKO-DAP-PKR
kepada pembangkang dengan menandatangani SD.
Chua berkata, beliau
menandatangani SD bagi menyokong Shafie dan kerajaan pimpinan Warisan, bukannya
orang lain.
Yong hari ini mendakwa,
“ketidakstabilan” gabungan kerajaan yang diketuai Warisan diperhebatkan lagi
oleh perebutan berhubung calon perdana menteri.
Beliau berkata, di peringkat
pusat, DAP dan PKR menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana
menteri PH.
“Tetapi di Sabah, parti yang sama
menyokong presiden Warisan Shafie Apdal.
“Lambat laun ketegangan dalam PH
dan Warisan akan meletup sekali gus menyebabkan pecahnya gabungan politik
pimpinan Warisan di Sabah.”
Dalam pada itu Yong berkata,
Warisan tidak lagi perlu merungut tentang kemungkinan ADUNnya meningalkan
parti.
Ini kerana katanya, Warisan adalah “lubuk” pembelotan. Beliau berkata, pembelot daripada BN telah menyertai Warisan.
“Malah kerajaan negeri pimpinan
Warisan terbentuk hanya melalui pembelotan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
“Oleh sebab Warisan gagal
memerintah dengan baik dan presiden partinya obses untuk menjadi perdana
menteri, maka tidaklah memeranjatkan ramai ADUNnya mahu mengkaji semula
pendirian politik sendiri berikutan tumbangnya kerajaan pusat pimpinan Dr
Mahathir Mohamad.
Yong menggesa Shafie supaya
menafikan bahawa beliau sendiri cuba memujuk ahli Parlimen Sarawak dan parti
lain supaya “memberontak” terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Adakah beliau akan menafikan
bahawa selepas pilihan raya umum lepas, yang menyaksikan Warisan memenangi 21
daripada 60 kerusi, parti itu dan wakilnya menawarkan jawatan kepada ADUN BN
dan STAR supaya beralih kepada Warisan?
“Bahawa ADUN yang melompat juga diberikan jawatan menteri (dalam Kabinet negeri)?,” jelasnya lagi. – SuaraKini