Sekolah sediakan kelengkapan untuk murid, bukan guru

                                                      

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sekolah mesti menyediakan kelengkapan seperti topeng muka dan pembersih tangan kepada murid.

Beliau menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyalurkan peruntukan untuk sekolah bagi tujuan ini.

“Apabila kita katakana yang sekolah mesti menyediakan pembersih tangan, membuat saringan suhu badan dan sebagainya, ianya perlu disediakan oleh sekolah. Bukan guru menyediakan secara persendirian untuk diri mereka,” katanya.

Ismail diminta mengulas laporan yang mengatakan bahawa para guru terpaksa menggunakan duit sendiri untuk membeli topeng muka dan pembersih tangan untuk murid.

Sekolah di seluruh negara dibuka semula semalam setelah lebih empat bulan ditutup kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penyebaran COVID-19. Mereka mesti mengikut SOP ketat yang ditetapkan.

Murid sekolah menengah, Tahun Lima dan Enam mesti memakai topeng muka di sekolah.

Mereka juga mesti membersihkan tangan mereka dan memeriksa suhu badan mereka sebelum memasuki bilik darjah mereka.

Ibu bapa hanya dibenarkan menemani murid sehingga pintu masuk utama sahaja.