KUALA LUMPUR: Ahli parlimen
Pakatan Harapan (PH) terus bertelagah apabila memprotes dan menganggu ucapan
Speaker Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Azhar Azizan Harun.
Azhar memulakan
ucapannya setelah diundang masuk ke Dewan Rakyat untuk mempengerusikan sesi
pertamanya.
Kemarahan beliau
semakin meningkat selepas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menjerit-jerit
di dalam Dewan Rakyat yang memprotes pelantikan Azhar.
"Kerajaan pintu
belakang! Speaker pun pintu belakang," jerit Khalid.
Azhar kemudian
menghentikan ucapannya dan menanggalkan cermin matanya.
"Shut up!"
gesa Azhar.
Beliau kemudian
meminta Khalid meninggalkan Dewan Rakyat kerana menganggu ucapannya.
Terdahulu, Azhar
berkata beliau menerima jawatan itu sebagai suatu tanggungjawab, dan kemudian
mengingatkan para ahli Parlimen tentang pemisahan kuasa namun tidak mengulas
panjang.
Beliau kemudian
menyentuh tentang semak dan imbang dan demokrasi berparlimen, mengingatkan
kerajaan dan pembangkang supaya bertindak penuh tanggungjawab.
Azhar seterusnya
mengucapkan terima kasih kepada Ariff atas khidmatnya dan menyeru semua ahli Parlimen
bekerjasama dengannya.
Beliau seterusnya
mengumumkan prosiding untuk melantik seorang timbalan speaker baru, iaitu Ahli
Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ahli Parlimen Ipoh
Barat, M Kulasegaran bangun untuk memaklumkan Azhar tiada proses sewajarnya
sebelum pelantikan speaker baru, meminta Azhar mempertimbangkan perkara
tersebut.
Azhar bagaimanapun berkata apabila usul yang dibentangkan sudah selesai, tiada perbincangan lagi tentang isu itu.