KUALA LUMPUR: Pengeluar kasut jenama Beethree membuat permohonan
maaf terbuka kerana mencetak logo Jata Negara di bahagian ‘insole’ (dalam
kasut) yang dikeluarkan syarikat terbabit.
Beethree melalui satu kenyataan
media yang dikirim kepada SuaraTV berkata kesilapan tersebut ekoran kekurangan
pengalaman dan telah mengarahkan pemberhentian produk tersebut serta-merta.
“Kami dari syarikat BeeThree
Footwear ingin membuat permohonan maaf di atas kesilapan syarikat kami yang
telah meletakkan logo Jata Negara di bahagian insole seperti yang tular di media
sosial hari ini (semalam).
“Untuk makluman semua, syarikat kami telah
memberhentikan pengeluaran produk yang mempunyai logo insole tersebut sebelum
ini. Pihak kami telah menyedari akan kesilapan kami yang telah meletakkan logo
tersebut disebabkan kekurangan pengalaman kami.
“Sehubungan itu suarikat kami
telah menjelaskan semua salah faham ini kepada pihak berkuasa. Syarikat kami
sekali lagi ingin memihon ribuan ampun dan maaf di atas kesilapan tentang
perkara ini,” memetik kenyatan media tersebut.
Semalam warga netizen membidas
syarikat pengeluar kasut tersebut kerana disifatkan sebagai tidak peka terhadap
sensitiviti masyarakat di negara ini.
Ia ekoran gambar yang memaparkan
logo Jata Negara di dalam kasut tersebut tular media sosial.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk
Saifuddin Abdullah berkata tindakan tetap perlu diambil terhadap syarikat kasut
tersebut walaupun telah membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan
itu.
“Bila buat silap, ia mesti disiasat dan kalau bersalah mesti dihukum dengan setimpal. Jika tidak, mudah sangat untuk membuat silap dan kemudian minta maaf,” katanya. – SUARA KINI