KUALA LUMPUR, 28 Julai ㅡ Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pucuk pimpinan parti dan ahli parti supaya bertenang setelah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah hari ini atas kesemua tujuh tuduhan rasuah berkaitan dengan RM42 juta milik SRC International.

Beliau berkata walaupun beliau bersedih dengan keputusan itu, beliau akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Saya menyeru semua pucuk pimpinan parti di semua peringkat dan ahli-ahli parti serta penyokong bertenang. Kita percaya Najib masih ada ruang untuk mendapatkan keadilan melalui proses perundangan negara,” katanya dalam catatan Facebook.

Terdahulu, anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, reputasi Najib sebagai pemimpin tidak akan berkurangan walaupun keputusan mahkamah, membuat perbandingan dengan presiden PKR Anwar Ibrahim, yang dipenjara dua kali.

Anggota Majlis Tertinggi yang lain, Mohd Puad Zarkashi, berkata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pasti "tersenyum" dengan keputusan itu lebih daripada Dr Mahathir Mohamad, salah satu individu yang paling lantang mengkritik Najib.

Najib ialah bekas perdana menteri pertama yang dibicarakan dan disabitkan atas tuduhan jenayah terhadap tindakan yang diambil semasa memegang jawatan.

Beliau didakwa pada 2018 dengan tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu kerana penyalahgunaan kuasa sejurus kerajaan Barisan Nasional kehilangan kuasa persekutuan berikutan kemenangan Pakatan Harapan.