KUALA LUMPUR, 19 Ogos -- Polis menahan 140 individu atas kesalahan mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Daripada jumlah itu, katanya, 136 orang dikompaun dan 4 lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP itu termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (35), tidak memakai pelitup muka (6), gagal melunaskan bayaran di pusat kuarantin (2), tidak memakai apron pakai buang (1) serta aktiviti menyukarkan penjarakan fizikal (96),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut menahan 2 warga asing atas kesalahan imigresen menerusi 64 sekatan jalan raya di seluruh negara untuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), khasnya di lorong tikus.
Katanya, tiada individu sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah yang melanggar SOP, hasil 401 pemeriksaan yang dijalankan pihak berkuasa.
Ismail berkata, seramai 12,926 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga semalam, ditempatkan di 62 hotel dan 4 institut latihan awam di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah serta Labuan.
“Daripada jumlah itu, 43 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 5,694 individu dibenarkan pulang.”
Katanya, individu itu pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.