KUALA LUMPUR, 17 Ogos -- Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis menahan 286 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-153.
Ismail berkata, daripada 286 individu yang ditahan semalam, 44 orang direman, manakala 242 lagi dikenakan kompaun.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar dan masuk (34 orang), premis beroperasi lebih masa (4 orang), tidak memakai pelitup muka (35 orang), serta aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (213 orang),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail juga berkata, menerusi Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang dijalankan, polis membuat 64,802 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
“Sebanyak 5,032 pasukan pematuhan melibatkan 16,259 anggota membuat pemantauan di 4,057 pasar raya, 5,917 restoran serta 1,355 penjaja, 1,602 kilang, 3,563 bank dan 955 pejabat kerajaan.
“Juga dipantau, sebanyak 1,448 terminal pengangkutan darat, 322 terminal pengangkutan air serta 122 terminal pengangkutan udara,” katanya.
Pada masa sama, Ismail berkata, semalam Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan pemeriksaan di 10 tapak binaan di seluruh negara, yang melibatkan 23 anggota penguatkuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua tapak binaan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.