Aktiviti kokurikulum secara bersemuka di sekolah dibenarkan 1 Sept

KUALA LUMPUR, 18 Ogos -- Aktiviti kokurikulum secara bersemuka di sekolah dibenarkan mulai 1 September, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kerajaan telah meluluskan garis panduan yang merangkumi pelaksanaan aktiviti kokurikulum secara bersemuka termasuk amali di luar bilik darjah bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) serta Sains Sukan dalam keadaan yang terkawal.

“Antara garis panduan yang perlu dipatuhi termasuk mendapatkan kebenaran bertulis ibu bapa atau penjaga murid yang terlibat, penggunaan bilik mandi atau persalinan dihadkan mengikut kapasiti, memastikan penjarakan fizikal 1-3 meter bagi aktiviti statik, dan 3-5 meter bagi aktiviti dinamik.

“Aktiviti sukan dan kokurikulum juga perlu mematuhi garis panduan dan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), serta Kementerian Pendidikan (KPM) sedia ada,” katanya pada sidang media harian di Parlimen hari ini.

Garis panduan yang lengkap boleh didapati di laman web rasmi MKN dan KPM bermula 1 September.

Sementara itu, mesyuarat khas juga meneliti dan meluluskan pembentangan KPM mengenai garis panduan pengajaran dan pembelajaran (PdP) amali teknikal dan vokasional berkuatkuasa 1 September ini.

“Garis panduan PdP amali teknikal dan vokasional melibatkan lebih 89 kolej vokasional serta sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah teknik yang terpilih," katanya.