COVID-19: 17 kes baharu, 1 kematian hari ini

KUALA LUMPUR, 30 Ogos -- Kes baharu COVID-19 dalam negara merekodkan 17 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 9,334 kes.

Satu kematian turut direkodkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 di negara ini adalah seramai 126 individu iaitu bersamaan dengan 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada keseluruhan kes baharu itu 15 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan 11 warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara.

"15 kes import tersebut adalah dari negara India dengan 12 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, negara Arab Saudi dengan dua kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan negara Jepun dengan satu kes di Sarawak.

"Dua kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia.

"Perincian kes adalah seperti berikut, di Selangor, ada satu kes saringan kontak rapat kes positif ke-9286 dan di Kedah, ada satu kes saringan kontak rapat kes positif ke-9284," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga kini terdapat tujuh kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 10 kes telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar wad, dengan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 9,048.

Mengenai kes kematian ke-126, katanya, mangsa adalah lelaki warganegara Malaysia berusia 75 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) dan penyakit jantung.

"Beliau mula mempunyai gejala batuk dan sesak nafas pada 7 Ogos dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah bagi jangkitan paru-paru. Beliau discaj dari hospital pada 18 Ogos.

"Beliau mengalami gejala batuk dan sesak nafas pada 21 Ogos dan mendapatkan rawatan pada 24 Ogos di Hospital Sultanah Bahiyah. Ujian saringan menunjukkan beliau adalah positif COVID-19.

"Keadaan kesihatan beliau didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 29 Ogos, jam 5.10 petang," katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan dua kluster baharu yang dikenali sebagai Kluster MV Glen di Selangor dan Kluster Telaga di Kedah.