KUALA LUMPUR, 4 Ogos -- Sebanyak 21 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata angka terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 9,023 kes.
"Ingin dimaklumkan daripada 21 kes baharu yang dilaporkan, 15 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan warganegara Malaysia," katanya.
15 kes import tersebut adalah dari negara Yaman, Papua New Guinea, Ivory Coast dan United Kingdom.
Manakala, jumlah keseluruhan kes yang maut akibat wabak kekal 125 kes.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 18 kes telah pulih daripada COVID-19.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang sembuh kini 8,702 kes iaitu 96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 196 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” tambahnya.
Sehingga kini, dua kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).