KUALA LUMPUR, 16 Ogos -- Jangkitan baharu COVID-19 dalam negara terus melonjak hari ini dengan merekodkan 25 kes menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 9,200 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 25 kes baharu itu, sembilan kes membabitkan penularan tempatan di dalam negara.
Katanya, baki 16 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu dari Thailand, Hong Kong, Indonesia, India, Arab Saudi, Pakistan, Yaman, Lubnan, United Kingdom dan Jepun.
Menurutnya, kes import itu membabitkan 11 warganegara dan lima bukan warganegara.
"Daripada 25 kes baharu yang dilaporkan, 16 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan 11 warganegara Malaysia dan lima bukan warganegara.
"Sementara di Kedah, lima kes bagi Kluster Tawar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, di Sabah pula satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Manakala, satu lagi kes penularan di dalam negara adalah di Pulau Pinang iaitu kes saringan daripada Kluster Tawar.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 28 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini dengan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 8,859 kes, 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Beliau berkata, daripada keseluruhan 9,200 kes kumulatif COVID-19 di Malaysia, kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 216 kes.
"Sehingga kini, tujuh kes positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.
"Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini, justeru jumlah kumulatif kes kematian dalam negara kekal sebanyak 125 kes, 1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.
