COVID-19: Kes baharu kekal satu angka, 179 kes aktif

KUALA LUMPUR, 21 Ogos -- Kes baharu COVID-19 hari ini kekal mencatatkan satu angka iaitu sembilan kes, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 179 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan kes baharu itu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 9,249 kes, selain tiada kematian dicatatkan menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 125 kes.

"Ingin dimaklumkan daripada sembilan kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua bukan warganegara.

"Empat (4) kes import tersebut adalah dari negara Filipina (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Austria (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Indonesia (1 kes di Selangor) dan India (1 kes di Selangor)," katanya dalam satu kenyataan media.

Bagi lima kes penularan tempatan, Dr Noor Hisham berkata, empat kes adalah warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara iaitu kes saringan di Sarawak sebelum pulang ke negara asal.

"Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

"Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia pula adalah, di Kedah ada tiga kes daripada Kluster Tawar dan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ada satu kes daripada Kluster Maju (kluster baharu)," katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata, terdapat 13 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad kepada 8,945 kes, atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini, sebanyak tujuh kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi, dan daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.