Gambar hiasan |
KUALA LUMPUR, 30 Ogos -- Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan melindungi golongan yang berisiko tinggi mendapat jangkitan dan maut akibat COVID-19.
Beliau berkata bukan sahaja golongan warga emas patut dilindungi namun kumpulan yang berisiko tinggi adalah lebih rentan jangkitan termasuk penyakit COVID-19.
"Individu yang patut dilindungi dalam kumpulan ini adalah warga emas, wanita mengandung, pesakit kronik (kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, dan sebagainya) dan pesakit imuniti rendah (kanser, HIV dan sebagainya), kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyenaraikan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kumpulan yang berisiko tinggi ini untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19.
"Elakkan ke tempat tumpuan ramai, mematuhi prosedur standard operasi (SOP) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan, memakai alat pelitup muka di tempat yang sesak dan sempit seperti yang diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020, terutamanya sekiranya penjarakan fizikal sukar diamalkan.
"Selain itu, segera mendapatkan rawatan sekiranya tidak sihat, kekalkan kebersihan diri sepanjang masa, makan makanan seimbang dan kekal aktif," jelasnya lagi.
Dr Noor Hisham turut berkata perkara ini menjadi tanggungjawab ahli keluarga atau penjaga yang tinggal bersama individu dari kumpulan ini.
"Bagi komuniti yang tinggal di kawasan yang sama, mereka disarankan agar mengamalkan penjarakan fizikal dengan individu-individu ini pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter agar mereka terus dilindungi dari jangkitan COVID-19," katanya.