DAP lancar tabung solidariti bantu bayar ikat jamin RM1 juta LGE

KUALA LUMPUR, 8 Ogos -- DAP melancarkan kempen meraih dana selama satu minggu bagi membantu untuk membiayai pembayaran ikat jamin setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng, yang didakwa atas pertuduhan meminta suapan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, memaklumkan bahawa selain bagi melunaskan pembayaran jaminan berjumlah RM1 juta untuk Guan Eng, tabung 'Solidariti untuk Lim Guan Eng' juga dapat membantu membayar semula wang yang dipinjam parti itu daripada penyokongnya pada Jumaat lalu.

“Pihak pendakwaan meminta jaminan RM2 juta dan mahkamah tetapkan sebanyak RM1 juta. Kami sudah bayar RM500,000 dengan wang yang dipinjam daripada para penyokong dan perlu bayar lagi RM500,000 kepada mahkamah Isnin ini.

“Sebarang lebihan daripada derma ini akan disalurkan untuk pilihan raya umum bagi melawan kerajaan pintu belakang dan mengembalikan mandat rakyat yang mengundi untuk melakukan perubahan pada 2018,” kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Jumaat, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Beliau juga dijangka berdepan lagi dua pertuduhan pada 10 dan 11 Ogos ini di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang.

Sementara itu, isterinya, Betty Chew, juga dijangka turut didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth minggu depan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Dalam pada itu, Pua mendakwa ini bukanlah kali pertama Guan Eng terpaksa berdepan pertuduhan palsu di mahkamah.

“Dia sekarang dituduh ‘meminta’ 10 peratus daripada keuntungan projek terowong dasar laut yang diberikan melalui tender terbuka dan dinilai oleh penjawat-penjawat awam paling kanan dalam kerajaan Pulau Pinang dan kerajaan pusat.

“Kami seru semua rakyat Malaysia untuk bersatu dan menentang pendakwaan politik ke atas Guan Eng. Kami percaya rakyat Malaysia akan memperjuangkan kebenaran bagi memastikan keadilan ditegakkan,” kata Pua, yang juga Ahli Parlimen Damansara.

Sementara itu, Guan Eng ketika ditemui, mendakwa tuduhan yang dilemparkan ke atasnya itu bermotif politik.

"Saya mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu pagi ini (7 Ogos) dan izinkan saya tegaskan bahawa ini adalah tuduhan yang tidak berasas dan bermotifkan politik untuk mencemarkan reputasi saya," ujarnya semasa sidang media selepas membayar separuh wang ikat jamin RM1 juta tersebut.

Beliau juga bertegas bahawa tiada wang suapan yang bertukar tangan semasa projek berkenaan.

"Saya ingin menekankan bahawa kita memerangi rasuah dengan serius dan kita tidak akan mengamalkan rasuah. Saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah menerima wang suapan," kata Guan Eng.