Lubnan perlu adakan pilihan raya awal - Hassan Diab

BEIRUT, 9 Ogos -- Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab pada Sabtu meminta agar pilihan raya awal diadakan di negara itu, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau turut merancang mencadangkan perkara tersebut dalam satu draf rang undang-undang pada Mesyuarat Kabinet, Isnin ini.

"Negara tidak dapat mengatasi krisisnya sekarang tanpa pilihan raya awal," kata Diab dalam ucapannya yang disiarkan di televisyen.

Beliau juga menyatakan sokongan terhadap permintaan rakyat Lebanon untuk membuat reformasi di negara itu.

Katanya, beliau juga sedia kekal dalam jawatannya sebagai perdana menteri selama dua bulan untuk memberi masa kepada ahli politik melakukan reformasi struktur.

Pada Sabtu petang, ribuan turun ke jalanan di pusat bandar Beirut sebagai tunjuk perasaan anti-kerajaan yang menuntut reformasi sistem politik.

Ia berlaku beberapa hari selepas letupan besar yang menggegarkan ibu negara Lubnan, mengorbankan sekurang-kurangnya 158 individu dan mencederakan 6,000 yang lain.

Maklumat awal mendedahkan bahawa ammonium nitrat yang telah disimpan di gudang di Pelabuhan Beirut sejak tahun 2014 mungkin menjadi punca letupan berbahaya itu.

-- SuaraKini