KUALA LUMPUR, 30 Ogos -- Masjid dan surau di seluruh negara sekali lagi bergema dengan alunan ayat suci al-Quran bersempena program Malaysia #QuranHour hari ini, walaupun negara masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Penganjuran Malaysia #QuranHour kali keenam bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 itu turut dijalankan dalam keadaan normal baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19.
Malaysia #QuranHour 1442H/2020 bertemakan 'Malaysia Harmoni: Bina 12 personaliti ibadurrahman' diadakan serentak di seluruh negara dan turut berlangsung di luar negara, bermula 12 hingga 1 tengah hari, hari ini.
Di Kelantan, program itu dihadiri 250 orang yang memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan melalui pemeriksaan suhu sebelum dibenarkan masuk ke Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian.
Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan Datuk Adnan Hashim berkata program tersebut dimulakan dengan bacaan al-Quran bersama surah Al-Fatihah, Al-Furqan dan Ar-Rahman serta tadabbur.
"Kupasan maksud dalam surah-surah dibacakan mengingatkan kita bahawa Allah sebagai Pencipta dan kita sebagai hamba-Nya...Ar-Rahman merupakan satu simbolik sifat Allah yang penyayang, pemurah dan ia lebih berkaitan panggilan mulia daripada Allah kepada hamba-Nya," kata beliau.
Di Perak, seramai 40 orang menyertai program yang diadakan di Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Lumut dengan turut mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka, dan usai majlis, mereka juga tidak ketinggalan mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotik bersempena Hari Kebangsaan ke-63, esok.
Penggerak Rumah Ngaji tersebut, Datin Maziah Rafie berkata beliau terpaksa menolak permohonan daripada beberapa individu yang turut ingin menyertai program berkenaan kerana perlu mematuhi peraturan berikutan pelaksanaan PKPP pada masa ini.
“Alhamdulillah, kita berjaya melaksanakan program ini biarpun tahun lepas penyertaan lebih 80 peserta berbanding 40 peserta tahun ini kerana sebab-sebab yang tidak dapat kita elakkan,” katanya.
Di Pulau Pinang, objektif penganjuran Malaysia #QuranHour tercapai di Masjid Al Marbawi, Merbau Kudung dekat Sungai Dua, Butterworth, walaupun bilangan pesertanya dihadkan kepada kumpulan kecil sebagai langkah pematuhan SOP.
Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang Mohd Taufek Abdul Rahman berkata dalam keadaan normal baharu, pihaknya memastikan penganjuran Malaysia #QuranHour kali ini turut menitikberatkan pematuhan SOP bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
"Sebelum ini, jumlah peserta yang mengikuti program ini seramai 2,000 orang, namun pada kali ini seramai 80 peserta dibenarkan kerana kita hendak jaga keselamatan dan kesihatan peserta daripada sebarang risiko.
"Walaupun kali ini jumlah peserta tidak ramai, program diharap dapat menarik minat masyarakat untuk meluangkan lebih banyak masa membaca dan menghayati al-Quran, lebih-lebih lagi ketika kita semua berdepan cabaran pandemik COVID-19," katanya.
Beliau berkata program tersebut disertai ahli Rumah Ngaji Pulau Pinang, jemaah masjid, pelajar tahfiz, petugas kerajaan dan orang perseorangan melibatkan tazkirah dan bacaan doa dan seterusnya bacaan surah Ar-Rahman ayat 1 hingga 16 dan surah Al-Furqan ayat 63 hingga 77.
-- BERNAMA