Menang di Slim bukan bermakna menang mudah di Sabah, kata Annuar

PUTRAJAYA, 30 Ogos -- Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengingatkan diri dan parti untuk tidak terlalu yakin akan memenangi pilihan raya negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas menang besar dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Slim semalam.

Beliau sebaliknya berkata, kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) harus dijadikan pengajaran walaupun menang dalam PRK sebelum itu.

“Bila kita terlalu yakin, kita masuk dalam zon bahaya.

“Saya mahu ingatkan diri sendiri dan rakan parti, kita menang semalam bukan bermakna menang mudah di Sabah. Kita tak ambil mudah.

“Jadi sementara kita berterima kasih, hati bersyukur, kita menang majoriti semalam, jangan ia melalaikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perarakan pasukan berkuda perkhidmatan awam sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Semalam, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Slim dalam PRK yang diadakan dengan majoriti lima kali ganda lebih banyak daripada kelebihan 2,183 undi yang diperolehi pada PRU14 lepas.

Gabungan itu yang diwakili oleh Mohd Zaidi Aziz meraih 13,060 undi, menewaskan dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S Santharasekaran dengan majoriti 10,945 undi.

Dalam pada itu, Annuar berkata, gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN) mahupun Muafakat Nasional (MN) dan BN perlu mengambil serius dan memandang penting perkara itu dalam setiap pilihan raya yang diadakan.

“Kita kena buang sikap anggap senang. Kerja keras, kerja dengan bijak dan jangan ambil mudah,” katanya.

PRN DUN Sabah bakal diadakan pada 26 September ini.

UMNO Sabah bersama-sama MCA dan PBRS berada dalam BN, manakala PN terdiri daripada Bersatu, STAR SAPP serta PBS dan PAS.