Muhyiddin tiba di Kota Kinabalu untuk lawatan rasmi ke Sabah

KOTA KINABALU, 29 Ogos -- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu untuk melakukan lawatan rasmi dua hari ke negeri di bawah bayu itu.

Ia lawatan sulung beliau ke negeri itu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) akhir Februari lalu.

Antara yang hadir menyambut ketibaan beliau ialah Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Lawatan rasmi pertama Muhyiddin ialah mendengar taklimat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah di Alam Mesra, di sini.

Selesai lawatan berkenaan, Muhyiddin telah menghadiri program Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan negeri di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC), Tanjung Lipat pada sekitar jam 11:45 pagi.

Pada sebelah petang, beliau dijadual menghadiri perhimpunan bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada 3:30 petang.

Muhyiddin turut dijadual menghadiri Majlis Sepetang Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri di SICC pada 5:15 petang.

Pada Ahad, lawatan rasmi beliau akan diakhiri dengan Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Sabah di Sipadan Hall II dan III, Aras 4, SICC pada 7:45 malam.

Beliau dijadual menghadiri program Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Penjawat Awam di Dewan Angsana, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah pada jam 10:30 pagi.

Beliau kemudian dijadual berlepas ke Sandakan untuk menghadiri program Perjumpaan Pimpinan Masyarakat bersama YAB Perdana Menteri di Dewan Hakka, Sandakan pada 1.30 tengah hari.